teduhan rindu

...menumpang teduh, melepas rindu...

Tuesday, October 19, 2010

Pembaca mungkin hanya membaca, tetapi Penulis perlu menulis dan membaca.

Menulis.Sesuatu yang pernah ku impikan. Menjadi penulis bukanlah semudah yang disangka. Tambahan pula di zaman internet yang canggih sekarang, semua orang mahu menulis, dan rencah penulisan juga berbagai. Perubahan zaman mendorong kita untuk berubah. Dahulu, bidang penulisan merupakan medan bagi para cendekiawan melontar idea-idea serta mengetengahkan perjuangan mereka. Dengan bersenjatakan pena, tarian tinta mereka begitu ampuh untuk menentang lawan.
    Itu cerita dulu...Kini,cukup berbeza. Rencah tulisan menjadi pelbagai, dengan sokongan media elektronik, semua orang bisa menulis buah fikiran masing-masing. Ada yang menyentuh isu hiburan, kekeluargaan, sukan, politik, keagamaan, akademik, malah terdapat juga yang menjaja cerita orang lain atau secara ringkasnya; gosip. Penulisan zaman ini, begitu rancak jika diintai ke dalam dunia penulisan blog. Begitu ramai menjadi penulis blog seterusnya melahirkan bermacam ragam penulisan, dihiasi lenggok bahasa yang berbagai. Masing-masing punya peminat tersendiri. Masakan tidak, ramai juga yang buat duit dengan hanya menulis blog. Selalunya, bayaran diperolehi kerana iklan yang ditampilkan di blog, berdasarkan jumlah pengunjung yang berkunjung ke laman tersebut. Inilah buktinya, blog tersebut punya peminat tersendiri.
    Masih diingat sewaktu zaman persekolahan dahulu, Nisah Haron, seorang penulis yang hebat, pernah bertanya kepada kami semasa beliau memberi ceramah berkenaan penulisan. Beliau menduga kami, " Apa yang kamu perlu buat sebelum menulis?"
Jawapannya cukup mudah, namun seorang pun tidak dapat menjawab.
    Sambungnya lagi, selepas kami terpinga-pinga kerana kebuntuan, " Apa yang kamu perlu buat sebelum menulis, pertama;membaca, kedua; membaca, dan ketiga; membaca."
Ya, membaca sangat penting, bertujuan menambah pengetahuan kita, meningkatkan kreativiti seseorang penulis untuk menyulam butir kata menjadi rampaian yang enak dinikmati kerana bahasa yang diolah.
    Sebagai seorang yang beragama, kita perlu merujuk kepada agama, ternyata dan telah diketahui umum bahawa wahyu Rasulullah S.A.W. yang pertama juga menyuruh kita untuk membaca. Subhanallah... begitulah jika dikaitkan dengan Al-Quran, kitab panduan kita juga sebagai manual bagi mesin tercanggih, iaitu manusia.
    Menyentuh kaitan tentang pembacaan dan penulisan, sememangnya dua elemen ini sangat penting dan pastinya berkait rapat. Apa yang dibaca oleh seseorang penulis akan turut mempengaruhi penulisannya.
Mengapa?
    Secara logiknya, apa yang ditulis adalah penterjemahan daripada otak, luahan hati dan faktanya berpandukan pengetahuan yang selalunya bermodalkan pembacaan. Begitulah sepatutnya...
Catatan kali ini cuma sedikit bingkisan dari sebuah kehidupan. Sekadar berkongsi. Juga latihan kepada penulis untuk menulis. Moga kita dirahmati Tuhan.

0 comments:

Post a Comment