teduhan rindu

...menumpang teduh, melepas rindu...

Wednesday, February 2, 2011

Permulaan selepas penutup.

Bismillah....di awal kalam ini, setelah sekian lama aku tak menulis, selama itu juga ku berkira-kira untuk terus menulis atau berhenti, meski begitu banyak perkara yang terlintas untuk membuahkan cerita menghiasi laman ini. Saat aku menekan-nekan kekunci ini, sama ada aku telah tewas atau menang, aku sendiri tak mengerti. Secara peribadi, aku seakan mahu berhenti menulis di laman ini atas beberapa sebab. Andai aku terus menulis, mungkin akan ku buka lembaran baru. Bukan di sini. Aku kira, ini adalah catatan terakhir.

Sekarang. Pukul 6.03 pm. Aku tergerak untuk menulis kerana asakan daripada rasa bosan berada di dalam bas menuju ke kampung halaman. Bermusafir seorang diri, membawa aku ke dalam dunia monologku sendiri bersama kenangan lalu, alam sekitar dan manusia sekeliling. Dalam bas ini, aku ternampak sepasang suami isteri(aku andaikan suami isteri kerana lingkungan umur dan fizikal mereka, seperti pasangan yang dah berkahwin), yang aku lihat sangat mesra tingkah lakunya lagak orang mabuk bercinta. Mungkin baru bernikah. Tapi, yang membuat aku rasa 'semacam' adalah kemesraan mereka yang pada hemat aku, tak perlu di pamerkan di tempat awam. Itu cuma secebis cerita. Antara lain, aku ternampak seorang pelajar, lengkap beruniform sedang merokok di hadapan surau. Ada juga pemuda dalam lingkungan 20-an, memakai rantai. Ada pasangan kekasih yang bercinta bergurau senda, sekumpulan mak nyah yang mampu menggugat ahli kariah masjid dan bermacam lagi. Aku, manusia sama seperti mereka dan mungkin lebih banyak dosanya. Bukanlah aku mahu menyatakan yang aku lebih baik dengan menzahirkan kesalahan mereka. Cuma, aku mahu menceritakan reality sekarang. ZAMAN SEKARANG. Begitu hebat ujian dan godaan di dunia luar. Buat manusia-manusia yang perlu bergantung kepada diri sendiri. Tiada orang yang datang kepada mereka dan memberi peringatan yang jelas. Tiada usrah mingguan. Tiada naqib yang memberi dorongan ke arah kebaikan.

Aku, meski punya sedikit ilmu sebagai panduan, punya teman memberi nasihat, kerap juga tewas dipermainkan syaitan. Termakan pujukan kerana mengejar manis yang sementara. Apatah lagi jika tiada ilmu atau teman yang baik.

Hari ini, dunia semakin mencabar. Islam semakin mencabar. Terlupa pula, sebentar tadi, aku lihat ada beberapa orang muslimah yang bertudung labuh, dan ada juga yang berpurdah. Alhamdulillah. Suatu hari, islam pasti bangkit. Tapi bila? Tentunya selepas kita sama-sama bergerak dengan matlamat yang sebenar. Mari, sampaikan islam kita. Tapi ingat, jalan dakwah itu penuh duri.

Dalam quran pun ada disebut, seseorang itu belum dikira beriman sekiranya belum diuji. Moga thabat dan tabah menempuhi segala cabaran dan dugaan wahai penulis! Jangan jadi seperti tin kosong! Bunyi saja kuat, tapi tak berguna! Dan jangan juga hanya jadi problem speaker, cakap banyak tindakan tiada!

Moga kita diredhai Allah.

  • Ini adalah nota peribadi penulis, juga sebagai entry penutup bagi blog ini. Aku tak ada idea. Siap tulis dan edit pada 6.44pm, 31hb januari 2011. Lebuhraya kuantan-segamat.




    ** perjalanan sebenar baru bermula.

Monday, December 6, 2010

Ragam Manusia - Nama

"Nama saya Abdullah bin Radhi, berasal dari Melaka dan sekarang menetap di Bukit Cina. Bekerja sebagai …"
Begitu yang selalu dan menjadi kebiasaan. Manusia akan menyebut nama, asal dan beberapa perkara asas tentang diri sendiri apabila diminta memperkenalkan diri. Nama, akan menjadi perkara pertama yang disebut. Di situ kita dapat lihat seberapa pentingnya nama. Sama halnya jika bayi yang baru dilahirkan, nama yang perlu diberikan kepada bayi menjadi prioriti yang utama. Bukan soal pendidikan dan perancangan masa depannya. Itu serba sedikit. 


Nama sebenar @ nama timangan?


Realiti masyarakat kita, jarang menggunakan nama penuh seseorang dalam kehidupan seharian. Kebanyakannya lebih selesa menggunakan nama timangan dan jika ada pun yang menggunakan nama penuh, mungkin kerana nama penuhnya begitu ringkas seperti Mus bin Leman, jadi dipanggil Mus. Ada juga nama yang sedia ringkas, diringkaskan seringkas ringkasnya. Contohnya jika nama Khir, diringkaskan dengan panggilan K.

Dalam kehidupan kita, terlalu banyak dan pelbagai nama timangan yang digunapakai. Ada yang punya makna yang baik, tiada makna dan tak kurang juga yang punya makna buruk. Seeloknya, nama panggilan perlulah mempunyai makna yang elok. 


Jika di kampung-kampung, nama gelaran diberi bertujuan supaya mudah untuk dikenali. Sebagai contoh, jika terdapat beberapa orang yang dikenali dengan nama Mat (masyarakat dahulu agak cenderung kepada nama Mat). Hakikatnya, nama penuh masing-masing mungkin berbeza, ada yang bernama Muhammad, ada yang bernama Rahmat atau Samad, tetapi telah menjadi kebiasaan dipanggil dengan nama Mat. Untuk mudah membezakan mereka, setiap Mat diberi gelaran mengikut kriteria masing-masing. Contohnya, jika Mat tersebut mempunyai kedai kain, akan dikenali sebagai Mat Kain. Jika beliau seorang yang suka bercakap atau berbual, mungkin dikenali sebagai Mat Borak. Jika rumah Mat berada berdekatan paya, mungkin dikenali sebagai Mat Paya atau barangkali jika rumahnya bersebelahan tanah perkuburan, tidak mustahil masyarakat akan mengenalinya dengan nama Mat Kubur. Perkara ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan kita, dan buktinya adalah filem-filem Mat Sentul sendiri.


Itu sedikit kisah nama panggilan di kampung. Banyak lagi kisah berkenaan nama yang boleh ditulis dan dibincangkan, tetapi tidak sanggup untuk ditulis dan beberapa faktor lain yang membataskan(alasan…) .


Seeloknya, dan sebaik-baiknya seseorang itu dipanggil dengan nama yang baik.


Teka-teki : Apakah perkara yang merupakan milik kita, tetapi selalu digunakan orang lain?

Jawapan: Nama kita sendiri.

Ulasan jawapan: Walaupun kita pemilik kepada nama kita, tetapi orang lain selalu menggunakannya dengan menyebut nama kita. Jarang sekali kita menyebut nama sendiri, jika ada pun tidaklah sekerap orang lain menyebutnya. 
 

Moga kita diredhai Allah.

Saturday, December 4, 2010

Ujian. Episod 3

Alhamdulillah…ini sambungan daripada catatan terdahulu, Ujian.Episod 2 yang dijanjikan dengan sebuah cerita. Ceritanya pendek dan ringkas sahaja. Tiada bunga-bunga serta kiasan yang dihiasi lenggok bahasa persis novel cinta. Cerita tentang seekor monyet.


Diceritakan tersebutlah kisah…


Ada seekor monyet yang memanjat pokok kelapa dan kini berada di puncaknya. Si monyet lalu berpautlah pada pokok kelapa. Berada di puncak, tak seindah yang disangka. Monyet tersebut telah diduga oleh tiga jenis angin kencang. Bukan, angin yang amat sangat kencang. Tetapi, bila angin yang amat sangat kencang itu menyerang, pautan si monyet semakin kuat dan tetap. Akhirnya, si monyet tersebut tidak jatuh bahkan semakin kuat memaut pada pokok kelapa tersebut. Si monyet berjaya.


Kemudian, hendak dijadikan cerita…


Datanglah sejenis angin yang menghembus sepoi-sepoi bahasa, bayunya begitu lembut menyentuh ubun-ubun si monyet. Asyik. Si monyet mula asyik melayan hembusan bayu sehingga matanya semakin lama semakin kuyu, dan perlahan-lahan tangan yang memaut kuat pokok kelapa mula dilepaskan. Seraya itu juga, monyet tadi terus jatuh menyembah bumi dan… 
penulis tinggalkan pengakhiran supaya masing-masing dapat menentukannya sendiri.



-TAMMAT-

Begitu kisahnya si monyet. Pengajarannya ialah, jangan jadi monyet. Yang kedua, kita bandingkan dengan hidup kita. Atau jika mahu, bandingkan dengan hidup orang lain. Selalu, bila diuji dengan kesempitan, kesusahan dan kesedihan, kita menjadi lebih kuat dan semakin dekat dengan Tuhan. Dengan Allah. Kita yakin semuanya datang dari-Nya.


Tetapi,


Bila diuji dengan nikmat kesenangan yang tak seberapa, kita semakin lupa pada-Nya. Hanyut. Bila harta bertambah, semakin tamak dan kedekut. Bila punya pangkat dan nama, merasa semakin sibuk sehingga tiada masa mengingati-Nya. Dan begitulah seterusnya. Sekejap saja diberi nikmat kesenangan sudah lupa semuanya juga datang daripada-Nya. Semakin jauh kerana lupa bahawa nikmat kesenangan juga adalah ujian.


Wahai diri, janganlah menjadi seperti si monyet yang begitu teguh melawan taufan tetapi mudah sekali dikalahkan oleh sang bayu. Begitu mudah untuk melupakan-Nya. Nauzubillah.


Sekian, terima kasih.
Moga kita diredhai Allah.

Sumber: Sang Murabbi

Thursday, December 2, 2010

Angan-angan Karangan - (cerita aku)

Catatan ini bukanlah sambungan daripada Ujian.Episod 2. Tidak sama sekali. Cuma selingan, aku mahu lepas gian menulis karangan.

Catatan ini aku coretkan daripada gugusan nostalgia yang semakin aku lupakan, apatah lagi insan lain. Tentang sebahagian hidup aku, sedikit cebisan daripada berjuta kisah sepanjang kedewasaan aku.

Sebentar tadi, aku teringat akan guru-guru aku, secara tepatnya guru-guru subjek Bahasa Melayu yang aku dan pastinya hampir semua pelajar panggil 'cikgu'. Nama panggilan yang cukup keramat, terus menjadi sebutan hingga di akhir hayat. Entah macam mana, tiba-tiba ingatanku menerjah mengingati cikgu-cikgu ini masa aku menjawab peperiksaan tadi dan subjek berkenaan langsung tiada kaitan dengan Bahasa Melayu, bahkan soalan pun dalam Bahasa Inggeris. Aku terkenang betapa barisan cikgu-cikgu Bahasa Melayu(BM) yang pernah mengajar aku, sempoi-sempoi belaka. Pelik, macam suatu kebetulan atau mereka memang dipatenkan begitu? Wallahu a'lam...

Oleh sebab cikgu BM ni sempoi belaka, aku rasa lebih berminat dan mudah untuk belajar Bahasa Melayu. Antara topik yang aku minat semestinya penulisan karangan dan semasa di sekolah menengah, minatku bertambah pada sastera. Pada aku, penulisan karangan memberi ruang untuk aku bermain dengan bunga bahasa, menulis dengan ayat-ayat super duper extravaganza yang aku ambil dan guna semula daripada mana-mana akhbar atau buku, serta meluahkan segala pandangan.

Aku masih ingat, saat menulis karangan berkenaan masalah sosial dalam kalangan remaja, aku terasa seperti seorang pakar motivasi bersama hujah-hujah dan penyelesaian yang mantap padahal dalam masa yang sama aku mungkin salah seorang remaja yang bermasalah seperti aku sendiri tulis dalam karangan. Ya, aku mampu jadi siapa sahaja yang aku mahu, saat menulis karangan berbentuk wawancara, aku terasa seperti seorang wartawan, kala menulis karangan berbentuk syarahan, aku terasa seperti seorang pemidato yang begitu gah melontar segala macam idea, walau apa yang ditulis sekadar standard karangan budak sekolah yang tak matang. Tak mengapa, yang penting perasaan di saat itu. Puas dan bangga.

Antara memori yang masih segar dan aku terkenang selalu, ketika aku masih bersekolah rendah. Aku masih ingat, ketika itu aku berada di Darjah 2, dan cikgu BM yang mengajar pada masa itu merupakan antara kenalan rapat ayah aku, memberi kami tugasan, karangan yang berkaitan alam sekitar. Tajuknya, aku lupa. Apa yang aku ingat, semasa aku meniarap di depan televisyen menyiapkan kerja sekolah, ada suatu iklan berkaitan alam sekitar terpacul keluar dan aku terus mendapat idea menulis karangan tersebut. Laju. Begitu laju penaku menari mengejar segala idea yang dilontar minda. Opps, aku guna pensil masa sekolah rendah. Bukan pena.

Di sekolah, cikgu BM meminta kami menghantar karangan masing-masing ke meja guru di depan kelas dan karangan kami ditanda satu-persatu di depan pemiliknya. Ketika cikgu menanda karangan aku, beliau menyoal, " Siapa yang buat ni?"

Aku yang dah cuak dengan muka tersengih-sengih menjawab " Saya lah."

Cikgu tersebut masih sangsi dan tak berpuas hati, kemudian diugut mahu menelefon ayahku. Aku terus berkata, " Telefonlah..." dan beliau terus telefon bertanyakan hal penulisan karangan ku, adakah dibantu oleh abang atau kakakku.

Kata ayahku, ....err...aku tak tahu bahagian ni.

Tapi yang aku agak, cikgu beritahu ayah aku, karangan aku bagus, tak macam budak darjah 2. HAHAHAHAHAHA! Bagi peluang aku gelak dengan bangga ya, sekali sekala. Balik rumah, aku dipuji oleh mak dan ayahku. Pujian melambung. Biasalah, puji anak kecil kena melambung-lambung, baru dia semangat walau pencapaiannya tidak sebesar mana dan aku masih lagi terpengaruh pada pujian melambung atas kejayaan yang tak seberapa itu. Cerita tentang pencapaian tak seberapa, aku bangga-banggakan di sini. Telur sebiji, riuh sekampung. Entah-entah telur tembelang, siapa tahu?

Itu baru cerita bahagian karangan, belum disentuh lagi komponen sastera(Komsas), subjek matematik, sains, sejarah dan sekutunya. Boleh berhenti belajar aku, kalau mahu dicerita satu persatu.

Eh, kejap. Ada orang minta kau bercerita ke?

Tak ada.

Habis ? Berhentilah bermimpi oi!



Moga kita diredhai Allah.

Wednesday, December 1, 2010

Ujian. Episod 2

Alhamdulillah... seperti yang diharapkan, dapat disambung ke episod 2. Ujian. Kaitannya dengan lagu Kehidupan oleh In-team dan Nazrey Raihan.


Kita lihat pada bait-bait lagu tersebut, pada stanza yang pertama, didendangkan dengan maksud bahawa masa senang itu hanya sementara, begitu juga dengan perihal masa susah seperti malam berganti siang, atau seperti yang selalu diperkatakan oleh ramai orang, hidup ibarat roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Di selitkan juga pesanan supaya tidak terleka ketika senang.

Seterusnya stanza kedua, hanya pesanan yang diselitkan, supaya kita menggunakan segala kesempatan sebelum terlambat dan sedikit gertakan andai kita tidak mengambil peluang yang ada, pasti menyesal.

Di stanza ketiga baitnya seakan memujuk, kepada yang sedang melalui masa susah supaya tidak berputus harap.


Akhir sekali di stanza keempat, diperingatkan bahawa ujian adalah tarbiyah dari Allah dan dikonklusikan dengan bait " ...semuanya adalah nikmat dari Tuhan."
 

Ujian adalah tarbiyah dari Allah.
 

Bila sebut ujian, akal pendek manusia akan menduga dan terbayang akan kesusahan yang dialami, musibah, nasib malang, kematian, kemiskinan, kelaparan dan beberapa perkara yang menyedihkan dan seangkatan dengannya. Dan manusia yang dikatakan diberi ujian itu akan didorong oleh kata-kata semangat oleh orang terdekat supaya hidup diteruskan, meski penuh dengan tangisan, kita perlu tabah dan pastinya pertolongan Tuhan dekat. Betul. Allah itu sentiasa dekat dengan hamba-Nya. Justeru, banyakkan berdoa kepada Dia, tempat bergantung harap. Akhirnya, manusia yang dikatakan diuji berjaya meneruskan hidup, bahkan bertambah imannya. Alhamdulillah.


Begitu cerita ujian yang biasa menjadi dendangan umum. Menjadi satu dogma masyarakat.
Bila sebut ujian, ditimpa ujian, mesti menangis, sedih, susah hati. Bila susah, baru nak cari Tuhan sebabnya hanya Tuhan yang paling setia menumpang harap. Betul, tak dinafikan bahawa ujian selalunya begitu dan baguslah jika kembali mencari Allah saat dalam kesusahan. Sekurang-kurangnya tidak menyalahkan takdir dan berpaling dari-Nya.


Tetapi, kita sering lupa atau terlepas pandang barangkali perihal masa senang juga adalah ujian buat hambanya-Nya. Harta, masa lapang, anak-anak, pangkat dan nama, dan segala macam kesenangan duniawi juga merupakan ujian kepada kita. Ingat, kita akan selalu diuji, bergantung pada tahap iman masing-masing. Ada satu cerita, ...


                                                                                                  bersambung...

Tuesday, November 30, 2010

Ujian. Episod 1

Kehidupan oleh Inteam ft Nazrey Raihan

Kesenangan yang datang tak akan selamanya,
begitulah selepas susah ada kesenangan,
seperti selepas malam datangnya siang,
oleh itu waktu senang jangan lupa daratan..


Gunakan kesempatan untuk kebaikan,
sebelum segalanya terlepas dari genggaman,
kelak menyesal nanti tak berkesudahan,
apa guna sesalan hanya menekan jiwa..


Jangan difikir derita akan berpanjangan,
kelak akan membawa putus asa pada tuhan,
ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
setelah kabus berlalu pasti cerah kembali..


Ujian adalah tarbiah dari Allah,
apakah kita akan sama ataupun sebaliknya,
kesenangan yg datang selepas kesusahan,
semuanya adalah nikmat dari Tuhan..

Lagu ini mempunyai makna yang mendalam, berkisarkan ujian daripada Allah S.W.T. dan pastinya berkaitan kehidupan persis tajuknya. Lebih lanjut, insya Allah kita akan kongsikan nanti supaya wujud unsur suspen di sini.

                                                                      bersambung... 

Monday, November 29, 2010

Masa Menyesal

Masa. Setiap kita ditetapkan dengan 24 jam sehari, itulah peraturan dunia bagi seluruh umat manusia, walau berbeza tempoh siang dan malam. Masa sangat penting, masakan tidak Tuhan juga menyebut perihal masa di dalam Quran. Perihal masa diumpamakan dengan perumpamaan masa itu emas, menggambarkan betapa berharganya masa kepada manusia. Tidak kurang juga yang menganggap masa sebagai pedang, menggambarkan masa itu sangat berbahaya, tajam tindakannya dan kita perlu berjaga-jaga menguruskan masa. Namun, jika dilihat secara kasar, ramai yang masih tidak sedar akan kepentingan masa. Juga punya krisis dengan masa. Masalah pengurusan dan kadang kala terlepas pandang kebajikan masa. Ayat mudahnya: tak pandai bahagi masa.

Apa masalahnya? Hidup aku, suka hatilah macam mana nak urus.

Ya, tapi manusia itu makhluk yang hidup secara kelompok. Memerlukan hubungan dengan manusia lain. Hidup kita saling memerlukan. Kita punya urusan terhadap masing-masing. Juga tanggungjawab antara manusia. Kaitannya, jika kita tidak menghargai masa, tidak menguruskan masa dengan bijak, menggunakan masa sewenang-wenangnya, kita akan mempengaruhi hidup orang lain. Contohnya, bila berjanji untuk berjumpa, masa yang tak ditepati sebenarnya akan menyebabkan masa orang lain terjejas. Hah, masih nak berbuat sesuka hati lagi?

Kisah manusia yang menyesal.

Ceritanya timbul semasa universiti-universiti di Malaysia dilanda demam peperiksaan baru-baru ini. Ada seorang manusia yang masih tidak sedar diri, leka dengan hidup di kampus yang bebas, tanpa disiplin ketat seperti zaman di bangku sekolah. Saat teman-teman lain menelaah, manusia ini terus leka, sehinggalah tiba malam peperiksaan, baru tersedar yang masih banyak pelajaran perlu difahami. Malam peperiksaan, baru tersedar. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, padan muka! Maaf, menderhaka peribahasa nenek moyang.

Malam itu, manusia yang baru tersedar ini mula menyesal,termenung dan 'ter' muhasabah diri. Yalah, focus memang hilang bila keadaan sangat menyempitkan. Manusia ini teringat saat-saat sebelum ini. Dia selalu lambat ke kuliah, kerja diselesaikan di akhir waktu, banyak bertangguhan. Saat itu juga, manusia itu terasa seperti seorang yang banyak berdosa di waktu menunggu kematian. Menyesal teramat sangat. Ya. Begitu keadaannya.

Bila difikirkan, kita sebagai manusia selalu leka saat tubuh masih sihat di dunia, punya kelapangan waktu yang banyak, punya harta yang cukup dan sebagainya. Jarang terfikir untuk mengutip dan menyediakan bekalan untuk kehidupan akhirat. Di saat kematian, barulah menyesal. Saat semuanya sudah terlambat. Sangat terlambat sehingga diibaratkan nasi sudah menjadi bubur, dan bubur pula tertumpah ke tanah.

Habis, nak buat apa?

Jika kita sekarang ini masih hidup, belum terlambat. Sudah tiba masa untuk ubah posisi dan rancang strategi. Urus masa, ubah sikap dan bersedia untuk melakukan perubahan.

Perubahan? Kita perlu lakukan sendiri. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Mungkin boleh mula berdampingan dengan alim ulama dan berjinak-jinak dengan ilmu agama.

Moga kita diredhai Allah.