teduhan rindu

...menumpang teduh, melepas rindu...

Wednesday, November 10, 2010

Alkisah Cheritera Ekspress Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Lumpur

Satu perjalanan di hujung tahun. Saat Terengganu di ambang tengkujuh, penulis melarikan diri daripada kehidupan tanpa mentari di negeri warisan keropok lekor . Saban hari, angin menderu dan sejuk menyucuk-nyucuk sampai ke tulang hitam. Hujan sepanjang hari memaksa sesetengah manusia memilih untuk terus berada di asrama, tanpa perancangan dan pengurusan kepada diri sendiri. Begitu lumrah di kampus. Tambahan pula musim cuti, dan peperiksaan akhir semester menjelang, menjadikan hari-hari di kampus begitu tenang tanpa kuliah dan tugasan. Bagi yang tidak pulang ke kampung, bermain 'games', menonton filem dan tidur sepuas-puasnya menjadi agenda setiap hari. Itu kehidupan di kampus, majoritinya.

Bagi sesetengah masyarakat di Terengganu, musim tengkujuh menandakan hampirnya acara kemuncak tahunan; Monsoon Cup. Acara gilang gemilang ini mengundang pelayar dari seantero dunia untuk beradu kemahiran pelayaran, sekaligus menjadi perhatian media dan membuka periuk nasi kepada warga setempat. Namun, ada juga suara-suara yang kecewa dengan temasya ini. Kebanjiran masyarakat luar walaupun bermusim, nampaknya mempengaruhi anak watan dengan budaya luar yang bercanggahan dengan budaya timur dan tentu sekali agama Islam. Penulis pernah mendengar cerita, tentang minuman keras turut sama dibawa masuk temasya ini. Botol-botol arak dikatakan bersepah-sepah menyakitkan pandangan mata. Ini apa yang penulis dengar. Sejauh mana kebenaran, anda menilai. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Penulis sendiri, kurang pasti akan kesahihan cerita itu dan secara peribadi belum pernah menonton temasya ini secara langsung kerana sering bercuti semasa temasya di kemuncak. Jadi, berada di luar Terengganu. Penulis sekadar menonton di televisyen, itupun secara tidak sengaja. Bunyinya agak keji, secara tidak sengaja menonton televisyen. Maaf ya, tapi itu kisah benar tentang penulis.

Demikian cerita tentang Monsoon Cup...

Tidak mahu mencetuskan sebarang isu, kerana penulis sendiri tidak punya fakta yang lengkap dan tuduhan melulu itu bukanlah tindakan orang yang bijak. Perjalanan kali ini, membuka ruang kepada penulis untuk mencoret sesuatu, kerana dalam perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Lumpur ini, bas yang dinaiki rosak dan para penumpang terpaksa menunggu beberapa jam untuk menanti barang gantian sampai dan bas dibaiki. Rumit. Penulis sebagai manusia biasa, terdetik di hati kecil. Mengapa di beli tiket bas ini? Bukan ke banyak bas lain lagi? Buat pengetahuan semua, ini pertama kali penulis menaiki bas syarikat tersebut. Di awal perjalanan, penulis berasa agak teruja kerana pengalaman pertama, menggunakan perkhidmatan bas yang baru pertama kali dicuba, tambahan pula bas ini menggunakan laluan yang lain daripada bas yang biasa penulis naiki. Bila direnung kembali, perjalanan menaiki bas ini sebenarnya membuka ruang untuk penulis berkongsi sedikit dengan apa yang dilalui serta menguji kesabaran. Takdir membawa aku untuk menulis. Idea untuk mencoret sesuatu, rezeki dari Allah yang tak terduga oleh akal ini.

Bila bercerita tentang bas dan diri penulis, sebenarnya penulis gemar berimaginasi dan membiarkan jiwa menerawang entah ke mana saat bas memulakan perjalanan. Sedar atau tidak, begitu ramai orang lain yang turut mengelamun saat menaiki bas. Tak percaya, cuba anda luangkan sedikit masa untuk memerhati keadaan penumpang sekeliling jika berpeluang menaiki bas. Rata-rata penumpang yang tidak tidur atau berbual, pasti termenung jauh, entah apa di fikiran. Wallahu a'lam.

Penulis. Bas. Imaginasi.

Penulis pernah berimaginasi dan berharap bas yang dinaiki rosak dan punya peluang bertemu gadis impian, berkenalan dan akhirnya bahagia bersama. Nah, sekarang rasakan. Bas rosak, ada. Bertemu gadis impian? Hanya ada seorang gadis dalam bas ini, dan kami berbual sedikit. Tapi dia bukanlah gadis yang diimpikan. Akhirnya, penulis habiskan masa berbual-bual dengan beberapa mat indon. Haha. Itu satu cerita. Antara yang diimaginasikan dan betul-betul terjadi.

Satu lagi cerita tentang imaginasi .Penulis pernah dan selalu berimaginasi, terutama jika duduk di kerusi berdekatan pintu kecemasan dan gadis idaman ada di dalam bas yang sama. Heh, gadis idaman lagi. Penulis berimaginasi, andai bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan. Penulis yang berada berdekatan pintu kecemasan pasti akan dapat melolos keluar seterusnya menyelamatkan gadis impian. Wah, mahu jadi hero. Hakikatnya, kemalangan yang banyak berlaku, tidak memungkinkan semua itu.

Itu sekadar imaginasi. Harap takkan terjadi. Nauzubillah.

Moga kita diredhai Allah.

0 comments:

Post a Comment