teduhan rindu

...menumpang teduh, melepas rindu...

Tuesday, November 30, 2010

Ujian. Episod 1

Kehidupan oleh Inteam ft Nazrey Raihan

Kesenangan yang datang tak akan selamanya,
begitulah selepas susah ada kesenangan,
seperti selepas malam datangnya siang,
oleh itu waktu senang jangan lupa daratan..


Gunakan kesempatan untuk kebaikan,
sebelum segalanya terlepas dari genggaman,
kelak menyesal nanti tak berkesudahan,
apa guna sesalan hanya menekan jiwa..


Jangan difikir derita akan berpanjangan,
kelak akan membawa putus asa pada tuhan,
ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
setelah kabus berlalu pasti cerah kembali..


Ujian adalah tarbiah dari Allah,
apakah kita akan sama ataupun sebaliknya,
kesenangan yg datang selepas kesusahan,
semuanya adalah nikmat dari Tuhan..

Lagu ini mempunyai makna yang mendalam, berkisarkan ujian daripada Allah S.W.T. dan pastinya berkaitan kehidupan persis tajuknya. Lebih lanjut, insya Allah kita akan kongsikan nanti supaya wujud unsur suspen di sini.

                                                                      bersambung... 

Monday, November 29, 2010

Masa Menyesal

Masa. Setiap kita ditetapkan dengan 24 jam sehari, itulah peraturan dunia bagi seluruh umat manusia, walau berbeza tempoh siang dan malam. Masa sangat penting, masakan tidak Tuhan juga menyebut perihal masa di dalam Quran. Perihal masa diumpamakan dengan perumpamaan masa itu emas, menggambarkan betapa berharganya masa kepada manusia. Tidak kurang juga yang menganggap masa sebagai pedang, menggambarkan masa itu sangat berbahaya, tajam tindakannya dan kita perlu berjaga-jaga menguruskan masa. Namun, jika dilihat secara kasar, ramai yang masih tidak sedar akan kepentingan masa. Juga punya krisis dengan masa. Masalah pengurusan dan kadang kala terlepas pandang kebajikan masa. Ayat mudahnya: tak pandai bahagi masa.

Apa masalahnya? Hidup aku, suka hatilah macam mana nak urus.

Ya, tapi manusia itu makhluk yang hidup secara kelompok. Memerlukan hubungan dengan manusia lain. Hidup kita saling memerlukan. Kita punya urusan terhadap masing-masing. Juga tanggungjawab antara manusia. Kaitannya, jika kita tidak menghargai masa, tidak menguruskan masa dengan bijak, menggunakan masa sewenang-wenangnya, kita akan mempengaruhi hidup orang lain. Contohnya, bila berjanji untuk berjumpa, masa yang tak ditepati sebenarnya akan menyebabkan masa orang lain terjejas. Hah, masih nak berbuat sesuka hati lagi?

Kisah manusia yang menyesal.

Ceritanya timbul semasa universiti-universiti di Malaysia dilanda demam peperiksaan baru-baru ini. Ada seorang manusia yang masih tidak sedar diri, leka dengan hidup di kampus yang bebas, tanpa disiplin ketat seperti zaman di bangku sekolah. Saat teman-teman lain menelaah, manusia ini terus leka, sehinggalah tiba malam peperiksaan, baru tersedar yang masih banyak pelajaran perlu difahami. Malam peperiksaan, baru tersedar. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, padan muka! Maaf, menderhaka peribahasa nenek moyang.

Malam itu, manusia yang baru tersedar ini mula menyesal,termenung dan 'ter' muhasabah diri. Yalah, focus memang hilang bila keadaan sangat menyempitkan. Manusia ini teringat saat-saat sebelum ini. Dia selalu lambat ke kuliah, kerja diselesaikan di akhir waktu, banyak bertangguhan. Saat itu juga, manusia itu terasa seperti seorang yang banyak berdosa di waktu menunggu kematian. Menyesal teramat sangat. Ya. Begitu keadaannya.

Bila difikirkan, kita sebagai manusia selalu leka saat tubuh masih sihat di dunia, punya kelapangan waktu yang banyak, punya harta yang cukup dan sebagainya. Jarang terfikir untuk mengutip dan menyediakan bekalan untuk kehidupan akhirat. Di saat kematian, barulah menyesal. Saat semuanya sudah terlambat. Sangat terlambat sehingga diibaratkan nasi sudah menjadi bubur, dan bubur pula tertumpah ke tanah.

Habis, nak buat apa?

Jika kita sekarang ini masih hidup, belum terlambat. Sudah tiba masa untuk ubah posisi dan rancang strategi. Urus masa, ubah sikap dan bersedia untuk melakukan perubahan.

Perubahan? Kita perlu lakukan sendiri. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Mungkin boleh mula berdampingan dengan alim ulama dan berjinak-jinak dengan ilmu agama.

Moga kita diredhai Allah.


 

8 Langkah Supaya Allah SWT Mencintai Kita

Lebih lanjut, sila klik di sini. Juga terdapat banyak artikel-artikel yang menarik.

Monday, November 22, 2010

aku dalam ramai

Melihat manusia-manusia itu,

Aku terpukul sendiri,

Mengenang usia sendiri,

Menduga usia mereka,

Masa tetap berlalu,

Apa bisa aku hidup lebih lama,

Atau mereka.

Semua kuasa Tuhan.


 

Al-Fatihah buat temanku, Muhammad Azizi bin Ahmad (1990-2010).

Wednesday, November 10, 2010

Alkisah Cheritera Ekspress Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Lumpur

Satu perjalanan di hujung tahun. Saat Terengganu di ambang tengkujuh, penulis melarikan diri daripada kehidupan tanpa mentari di negeri warisan keropok lekor . Saban hari, angin menderu dan sejuk menyucuk-nyucuk sampai ke tulang hitam. Hujan sepanjang hari memaksa sesetengah manusia memilih untuk terus berada di asrama, tanpa perancangan dan pengurusan kepada diri sendiri. Begitu lumrah di kampus. Tambahan pula musim cuti, dan peperiksaan akhir semester menjelang, menjadikan hari-hari di kampus begitu tenang tanpa kuliah dan tugasan. Bagi yang tidak pulang ke kampung, bermain 'games', menonton filem dan tidur sepuas-puasnya menjadi agenda setiap hari. Itu kehidupan di kampus, majoritinya.

Bagi sesetengah masyarakat di Terengganu, musim tengkujuh menandakan hampirnya acara kemuncak tahunan; Monsoon Cup. Acara gilang gemilang ini mengundang pelayar dari seantero dunia untuk beradu kemahiran pelayaran, sekaligus menjadi perhatian media dan membuka periuk nasi kepada warga setempat. Namun, ada juga suara-suara yang kecewa dengan temasya ini. Kebanjiran masyarakat luar walaupun bermusim, nampaknya mempengaruhi anak watan dengan budaya luar yang bercanggahan dengan budaya timur dan tentu sekali agama Islam. Penulis pernah mendengar cerita, tentang minuman keras turut sama dibawa masuk temasya ini. Botol-botol arak dikatakan bersepah-sepah menyakitkan pandangan mata. Ini apa yang penulis dengar. Sejauh mana kebenaran, anda menilai. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Penulis sendiri, kurang pasti akan kesahihan cerita itu dan secara peribadi belum pernah menonton temasya ini secara langsung kerana sering bercuti semasa temasya di kemuncak. Jadi, berada di luar Terengganu. Penulis sekadar menonton di televisyen, itupun secara tidak sengaja. Bunyinya agak keji, secara tidak sengaja menonton televisyen. Maaf ya, tapi itu kisah benar tentang penulis.

Demikian cerita tentang Monsoon Cup...

Tidak mahu mencetuskan sebarang isu, kerana penulis sendiri tidak punya fakta yang lengkap dan tuduhan melulu itu bukanlah tindakan orang yang bijak. Perjalanan kali ini, membuka ruang kepada penulis untuk mencoret sesuatu, kerana dalam perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuantan-Kuala Lumpur ini, bas yang dinaiki rosak dan para penumpang terpaksa menunggu beberapa jam untuk menanti barang gantian sampai dan bas dibaiki. Rumit. Penulis sebagai manusia biasa, terdetik di hati kecil. Mengapa di beli tiket bas ini? Bukan ke banyak bas lain lagi? Buat pengetahuan semua, ini pertama kali penulis menaiki bas syarikat tersebut. Di awal perjalanan, penulis berasa agak teruja kerana pengalaman pertama, menggunakan perkhidmatan bas yang baru pertama kali dicuba, tambahan pula bas ini menggunakan laluan yang lain daripada bas yang biasa penulis naiki. Bila direnung kembali, perjalanan menaiki bas ini sebenarnya membuka ruang untuk penulis berkongsi sedikit dengan apa yang dilalui serta menguji kesabaran. Takdir membawa aku untuk menulis. Idea untuk mencoret sesuatu, rezeki dari Allah yang tak terduga oleh akal ini.

Bila bercerita tentang bas dan diri penulis, sebenarnya penulis gemar berimaginasi dan membiarkan jiwa menerawang entah ke mana saat bas memulakan perjalanan. Sedar atau tidak, begitu ramai orang lain yang turut mengelamun saat menaiki bas. Tak percaya, cuba anda luangkan sedikit masa untuk memerhati keadaan penumpang sekeliling jika berpeluang menaiki bas. Rata-rata penumpang yang tidak tidur atau berbual, pasti termenung jauh, entah apa di fikiran. Wallahu a'lam.

Penulis. Bas. Imaginasi.

Penulis pernah berimaginasi dan berharap bas yang dinaiki rosak dan punya peluang bertemu gadis impian, berkenalan dan akhirnya bahagia bersama. Nah, sekarang rasakan. Bas rosak, ada. Bertemu gadis impian? Hanya ada seorang gadis dalam bas ini, dan kami berbual sedikit. Tapi dia bukanlah gadis yang diimpikan. Akhirnya, penulis habiskan masa berbual-bual dengan beberapa mat indon. Haha. Itu satu cerita. Antara yang diimaginasikan dan betul-betul terjadi.

Satu lagi cerita tentang imaginasi .Penulis pernah dan selalu berimaginasi, terutama jika duduk di kerusi berdekatan pintu kecemasan dan gadis idaman ada di dalam bas yang sama. Heh, gadis idaman lagi. Penulis berimaginasi, andai bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan. Penulis yang berada berdekatan pintu kecemasan pasti akan dapat melolos keluar seterusnya menyelamatkan gadis impian. Wah, mahu jadi hero. Hakikatnya, kemalangan yang banyak berlaku, tidak memungkinkan semua itu.

Itu sekadar imaginasi. Harap takkan terjadi. Nauzubillah.

Moga kita diredhai Allah.

Saturday, November 6, 2010

Ragam Manusia- Bingkisan dari jauhnya perjalanan


 

Ini kisah aku,

Bingkisan dari jauhnya perjalanan,

Sesekali merenung ke luar,

Bukit-bukau menghiasi pandangan.

Aku suka melihat gunung nan tinggi,

Tetapi aku mahu berada di pantai.

Meski aku mampu, aku tak sanggup.

Aku impikan sesuatu yang indah,

Tetapi aku mahu sesuatu yang baik.

Telatah manusia-manusia itu,

Aku tak bisa mengerti,

Walau sedalam mana kudekati.

Maha Suci Allah,

Kau jadikan manusia berbagai ragam.

Punya persamaan dalam perbezaan,

Punya persefahaman dalam percanggahan.

Punya aturan sendiri.

Aku. Manusia. Hidup.

-Lebuhraya Karak, 2 Oktober 2010: 7.25 pm-

Wednesday, November 3, 2010

Ragam Manusia - Usia.

Tahun 2010. Penulis telah meninggalkan usia belasan, menginjak ke usia yang sesetengah manusia fikir sebagai alam dewasa. Penulis terdetik hati, dengan usia sebegini, sesuatu perlu dilakukan, menjadi dewasa. Cukuplah belajar secara teori. Kini tiba masa menjadi dewasa secara praktikal. Punya tanggungjawab, berfikir dan merancang masa depan, serta berhenti berfoya-foya berlebihan seperti anak muda remaja. Memikirkan usia kita pada masa kini,sebagai pemuda. Cuba bandingkan dengan beberapa pemuda lain pada zaman Rasulullah. Apa pencapaian mereka. Tahap mereka. Kita masih lagi jauh. Ada yang belum memulakan langkah lagi.

Malu.

Ya, bila difikirkan, amat memalukan diri sendiri. Pada usia sama seperti mereka, pemuda masa kini masih lagi lemah, masih mencari, malah lebih teruk masih tidak mengerti.

Pemuda. Kita adalah golongan penggerak. Dahulu, pemuda-pemudi di universiti digeruni kerajaan. Istilah yang tepat adalah mahasiswa-mahasiswi. Suara golongan ini didengari. Malah, menjadi sasaran sebagai agen menyebarkan ideologi-ideologi. Kuasa mereka digeruni. Masyarakat memandang tinggi. Kini tidak lagi. Mahasiswa-mahasiswi tidak ubah seperti robot; belajar, lulus, bekerja. Melalui kitaran yang sama. Tiada perubahan ke arah kemajuan. Undang-undang jumud ciptaan manusia, serta peluru-peluru senjata pemikiran daripada musuh Islam merosakkan golongan harapan kita. Mengekang kita.

Merosakkan. Bukan memusnahkan.

Merosakkan lebih parah kerana kita sangka ia masih elok, sedangkan dalam diam virus penyakit disebarkan. Menjadi bom jangka yang pasti meledak dan mengorbankan lebih ramai mangsa.

Ini situasi sekarang. Zaman millennium, tanpa sempadan. Pemuda hilang arah dan leka.

Di mana usia kita digunakan?

Soalan ini pasti akan ditanya. Mahu jawab apa?

    Main 'game'. Baca komik. Tengok wayang. Bercinta dan kecewa. Belajar. Cari kerja. Berpersatuan. Berdakwah. Mencari Illahi.

...

Jawab. Kita jawab dan simpan jawapan sendiri. Itu pilihan peribadi. Penulis tidak melarang anda untuk tidak melakukan semua itu. Kita manusia biasa.

Cuma, berpada-padalah. Peringatan buat diri sendiri dan semua. Kita di awal usia dewasa, perlu bijak merancang.

    "Orang yang gagal merancang, bermakna merancang untuk gagal."

Itu adalah sebuah pepatah yang ramai pernah dengar. Berapa ramai menghayatinya, Allah lebih tahu.

Usia tidak akan menunggu kita atau berpatah balik. Bahkan kita yang perlu mengejar masa dan usia. Kadang kala terdetik juga di hati, betapa usia mementingkan diri sendiri. Rumit bunyinya. Usia tidak pernah mempedulikan kita andai kita leka dan terus asyik dengan mainan fantasi buatan sendiri. Kita sendiri perlu bangkit dari mimpi, meski kita mengatakan kita tidak tidur, sebenarnya kita masih bermimpi andai kita masih berada di kepompong sendiri, tanpa memikirkan sedikitpun masalah umat, masa depan sendiri dan polemik di bumi sendiri.

Penulisan kali ini, cuma cetusan rasa yang terdetik saat berada di khalayak awam. Memandang manusia lain. Meneliti umur. Menduga masa silam. Meneka amalan. Berimaginasi tentang diri sendiri. Mengembara ke masa hadapan. Bagaimana diri ini sepuluh tahun akan datang. Dua puluh tahun. Tiga puluh tahun. Dan seterusnya. Apa mungkin ada sesalan? Sekadar berpuas hati? Atau boleh tersenyum sendiri saat Izrail menjemput?

Semuanya bertitik tolak di sini. Akhir usia remaja. Awal dewasa. Lakukan berubah. Kita perlu menghadapinya.

Kata orang putih, " By hook or by crook, we must face the change. Because the only thing that never change in this world is change".

            Perkara yang tidak pernah berubah dalam dunia ini adalah perubahan.

Kita, manusia. Golongan muda sebagai agen perubahan. Kita mampu mengubah masyarakat, andai kita mahu berubah ke arah yang lebih baik. Siapa yang tidak mahu dunia yang lebih baik untuk didiami.

Gunakan usia sebaiknya. Jangan dihiasi dengan perkara sia-sia. Juga terus leka dengan buaian fantasi ciptaan imaginasi sendiri. Semua ini peringatan buat diri sendiri dan semua, khususnya pemuda.

Moga kita diredhai Allah.