teduhan rindu

...menumpang teduh, melepas rindu...

Monday, October 11, 2010

Gila. Persepsi, memori dan terapi.

Gila. Betul-betul gila! Aku semakin gila sejak akhir-akhir ini. Gilakan seseorang, gila nak jadi kaya, gila pada minat yang pernah mekar di hati; minat menulis, dan aku semakin gila membaca sesuatu yang mustahil akan keluar dalam kertas peperiksaan(buku-buku tentang kekayaan dan bisnes, jarang kenalan sebaya berkongsi minat ini bersamaku). Kegilaan ini kadang-kala(rasanya selalu) buat hidupku tak terurus.


          Bila difikirkan tentang kegilaan ini, aku teringat syarahan yang disampaikan oleh Pak Ngah aku semasa Hari Raya yang lepas. Pak Ngah aku memang suka menyampaikan nasihat dalam bentuk syarahan ,selalunya selama sejam atau lebih, terutama kepada sanak saudara. Kata Pak Ngah ketika mengakhiri syarahan, itu hobi barunya.


          Berbalik pada kisah gila, aku tertarik pada salah satu isi syarahan spontannya, tentang kejayaan beliau. Beliau seorang yang amat gigih berusaha, dan perkara ini dapat aku saksikan sendiri disokong pula oleh cerita-cerita daripada arwah nenek.


                                     “...Aku ni gila. Dulu aku nak kahwin dengan Mak Ngah kau ni, tapi orang semua cakap aku gila. Mak Ngah kau anak orang kaya,aku orang susah. Tapi aku ni gila, aku tak kisah. Aku pergi jumpa ayah dia. Nah, aku dapat kahwin dengan anak orang kaya. Kau tak gila, tak dapat lah...”

Lebih kurang begitulah kata-kata Pak Ngah...
            Kemudian, Pak Ngah terus mengulas dengan beberapa contoh pengalaman hidupnya. Betapa keinginannya menyuburkan kegilaannya. Pada hemahku, beliau mungkin mahu sanak saudara mencontohi kegigihan dan keazaman beliau. Namun, menafsirkan keazamannya yang tinggi dengan kegilaan berbunyi agak ekstrem. Secara peribadi, aku sukakannya. Menaikkan adrenalin.
Demikian sedikit cerita tentang gila. Setiap kali aku rasa seperti tergila-gilakan sesuatu, atau tertekan sampai rasa nak gila(sebenarnya tidak teruk sangat), aku akan teringat kata-kata Pak Ngah,


                  “ Aku ni gila...”


                                                                              ***


Gila. Jiwa kacau.
                          Ubatnya, Tuhan.
Tuhan.
Jika kita mengingati-Nya, hati akan tenang.
Maha Suci Allah. Segala Puji Bagi Allah. Tiada Tuhan Selain Allah. Allah Maha Besar.

                        “Aku rasa nak gila. Aku rasa aku ni gila.”


Kenapa?


                         “ Aku tak tahu kenapa.”


Nampaknya kau perlu terapi hati. Jika kita mengingati-Nya, hati akan tenang. Moga kita dirahmati-Nya.

0 comments:

Post a Comment